Monday, 16 September 2013

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini. Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran munusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-gunung sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik.

Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya.

Udara dalam alam sekitar kita yang bersih dan segar juga membolehkan kita menikmati keselesaan. Kita akan berasa selasa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas marah dan tidak selesa. Aktivti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan tahap kesihatan kita.

Selain itu, penanaman pokok-pokok haruslah dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa. Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok-pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida. Akhirnya, pemanansan global dapat dikawal dan akan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan sumber-sumber alam sekitar seperti pokok-pokok akan dapat membendung pelbagai masalah, sebagai contoh hutan mengawal hakisan tanah dan banjir. Hutan juga menjadi salah satu sumber ekonomi negara kita.

Alam sekitar yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa penyakit. Persekitaran yang bersih menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk dan tikus daripada membiak dan menyebarkan penyakit kepada manusia seperti malaria, deman denggi, taun dan hawar. Keadaan ini turut melindungi makanan kita daripada dicemari oleh vector-vektor penyakit tersebut dan dengan itu, masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Gangguan daripada serangga di dalam rumah juga dapat dielakkan jika persekitaran dalam keadaan bersih. Alam setikar yang bersih dapat mengurangkan pembiakan serangga seperti nyamuk, lalat, dan serangga lain yang berada di dalam rumah. Tanpa serangga tersebut, kita dapat berehat dengan selesa di rumah pada bila-bila masa. Selain itu, persekitaran yang bersih juga mengelakkan pencemaran bau yang boleh mengganggu keselesaan hidup kita.

Selain itu, air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari dengan air sahaja tanpa makanan. Tubuh kita mengandungi lebih kurang 70% air. Sekiranya kehilangan air, hal ini akan mengakibatkan kita kehilangan tenaga. Air bukan sahaja penting kepada manusia malah kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang turut memerlukan air. Air yang suci dan bersih merupakan penjana kepada kehidupan di muka bumi. Oleh kerana air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia, masyarakat  haruslah berganding bahu dalam memelihara dan menjaga kebersihan air terutamanya menjaga keselamatan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

Tambahan pula, alam sekitar yang dijaga oleh semua lapisan masyarakat dapat mengelakkan kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah merupakan salah satu sumber makanan kepada manusia. Pencemaran alam sekitar yang dilakukan akan menyebabkan kemusnahan habitat haiwan dan akan menyebabkan sumber makanan manusia akan berkurang, sebagai contoh hidupan laut seperti udang, ikan dan seumpamanya merupakan sumber makanan yang mengandungi protein yang dapat menstabilkan kesihatan manusia. Sekiranya kita melakukan sebarang pencemaran laut seperti pembuangan sisa toksik ke dalam laut, kepupusan hidupan laut akan berlaku. Manakala, tumbuh-tumbuhan pula menjadi sumber kepada perubatan seperti herba untuk pesakit. Alam sekitar yang tidak tercemar membolehkan habitat hidupan darat dan air terpelihara.

Di samping itu, alam sekitar yang bersih akan dapat meningkatkan ekonomi negara. Sesebuah masyarakat yang bersih dan mengandungi nilai kedamaian akan dapat menarik perhatian pelancong asing. Kedatangan pelancong asing ke dalam negara kita akan meningkatkan nilai tukaran wang asing, dan ini akan dapat memajukan perkembangan ekonomi negara kita. Selain itu, kedatangan pelancong juga dapat memajukan sektor perkhimatan dan sektor perniagaan serta menawarkan peluang perkerjaan kepada masyarakat. Dengan ini, imej negara kita akan dapat ditingkatkan.

Kesimpulannya, pemeliharaan muka bumi perlu dijalankan bagi menjamin bekalan sumber makanan, sumber kesihatan untuk  menghasilkan ubat-ubatan, Ia turut berperanan sebagai sumber kecantikan, keindahan dan kedamaian di samping udara yang bersih. Justeru, semua lapisan masyarakat haruslah bekerjasama dan saling membantu dalam memelihara alam sekitar supaya  kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita.

Langkah-Langkah Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar. Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan  sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di  antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar           .

Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu  akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat mengikut pertambahan  bilangan pengguna. Saya berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.

Keburukan Dan Kesan Pencemaran Alam Sekitar

Pencemaran alam sekitar telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran alam sekitar ialah terhadap udara, suhu persekitaran dan lain-lain. Pencemaran pada hari ini semakin berterusan dari semasa ke semasa. Sememangnya pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk.

Pencemaran udara memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis (Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi juga terganggu.
Seterusnya, bahan tercemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Haiwan – haiwan akan kehilangan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka .Maka,haiwan -  haiwan terbunuh dan spesis-spesis yang istimewa juga akan menghadapi kepupusan. Bahan-bahan tercemar seperti sulfur dioksida yang terlepas ke udara oleh kenderaan akan menyebabkan penghadaman makanan haiwan terjejas. Hal ini menyebabkan haiwan-haiwan kehilangan nyawa kerana bahan – bahan toksid di udara ini telah diserap ke dalam tubuh badan haiwan tersebut. Sebagai contohnya, gajah,harimau,kuda-kuda,singa dan sebagainya.
Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.
Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air.Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.
 Selain itu,kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
Pencemaran bunyi terhadap dunia pada masa kini termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising sehingga tahap yang melampau. Pencemaran bunyi akan menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta kehidupan lain terganggu. Haiwan juga berasa takut dan ingin berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap dan nyaman. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.
 Pencemaran bunyi menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan.                                                                                                                                                                                                       Pencemaran tanah bermaksud perbuatan atau bencana semula jadi yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga kawasan tersebut telah bertukar warna , tidak subur atau berlakunya hakisan. Ia boleh di bahagikan kepada dua jenis iaitu dalam bentuk cecair atau pepejal. Kebanyakan bahan pencemar ini adalah terdiri daripada organik atau kimia. Tahap pencemaran adalah serius apabila sesuatu kawasan tanah telah bertukar warna , tidak subur serta tumbuh-tumbuhan dikawasan tersebut menjadi layu. Kebanyakkan tanah yang tercemar adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri.  Sebagai contoh ialah perlombongan, penebangan hutan yang memyebabkan aliran tanah dari darat ke laut, pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan kumbahan yang tidak terkawal,dan tumpahan minyak dan pembuangan sisa nuklear ke dalam laut.
                                                                                                                             
Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang akan menjadi tempat pembiakan kuman penyakit. Tikus, lipas, lalat dan haiwan-haiwan perosak yang lain akan tertumpu di kawasan tersebut dan menyebarkan kuman-kuman ke tempat-tempat lain. Makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas ,jika dimakan oleh manusia akan menyebabkan keracunan makanan dan seterusnya diserang penyakit yang serius. Sekiranya serius, akan membawa kematian kepada manusia atau munculnya penyakit baru yang bahaya seperti H1N1 dan SARS yang mudah berjangkit.

Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ia bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Contohnya negara Jepun yang sering berlaku gempa bumi akibatnya ramai manusia kehilangan harta benda.. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat. Selain itu, pembinaan rumah-rumah di tengah bukit juga akan menyebabkan tanah runtuh apabila berlaku hujan kilat. Nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah bukit dan di kaki bukit akan tergugat.

Kesan daripada pencemaran tanah ini kepada dunia sangat ketara seperti pencemaran-pencemaran lain juga. Ianya juga memberi kesan yang cukup buruk terhadap kesihatan manusia dan hidupan-hidupan lain. Pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan nulear akan menjadikan kawasan tanah beracun dan tidak sesuai untuk didiami oleh manusia dan haiwan. Contoh letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia. Kesannya dapat dirasai sehingga ke Sweden, kerana 23 orang telah dilaporkan mati akibat daripada kesan radioaktif nuklear tersebut. Semua penduduk di sekitar tersebut telah dipindahkan ke tempat lain.

Pencemaran air  berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga tidak sesuai untuk diguna dan akan memberi kesan kepada para pengguna apabila menggunakan air tersebut. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia, dan fizikal. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai sahaja,tetapi juga di laut,pantai, tasik kolam dan sebagainya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Punca utama yang mengakibatkan pencemaran ini adalah daripada bahan pencemar dari kilang-kilang yang berdekatan. Keadaan atau tahap pencemaran sumber air boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhi kualiti air tersebut iaitu oksigen terlarut, keperluan oksigen biokimia (BOD), zat terlarut dalam air, pH, dan suhu. Secara saintifik, pencemaran air boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu pencemaran fizikal, kimia, fisiologis dan biologi. Pencemaran fizikal ini ditentukan oleh perubahan warna, suhu dan kekeruhan sumber air tersebut. Punca yang biasanya menyebabkan pencemaran jenis ini ialah seperti pembuangan sampah. Manakala pencemaran kimia biasanya disebabkan oleh zat organik termasuk protein, karbohidrat, lemak dan bahan buangan industri yang mengandungi garam beracun serta tumpahan minyak di laut.

 Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan pelbagai masalah kepada hidupan-hidupan di  dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tersebut mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan hidupan air tersebut. Selain itu, manusia akan mendapat penyakit jika terminum air yang penuh bahan-bahan cemar seperti lumpur, pasir dan batu halus, karat besi, bahan buangan industri, logam berat, racun rumpai, bakteria, virus, dan haloform.

Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga iaitu jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.

Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut. Disebabkan oleh pembuangan sampah-sarap ke dalam sungai yang menyebabkan sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut. Selain daripada itu air juga menjejaskan keindahan alam. Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap dan air yang kotor menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang akibat daripada pembuangan sampah-sarap ke lautan. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Tetapi, apabila berlaku hujan lebat atau loji pecah, sisa-sisa ini akan terkeluar dan menyebabkan dua masalah iaitu, pertama ialah jika sisa ini mengalir di permukaan, maka ianya akan mengalir di dalam sistem saliran terutamanya parit dan sungai. Masalah kedua pula ialah sekiranya sisa ini mengalir ke dalam sistem bawah tanah yang akan menyebabkan sistem air bawah tanah tercemar.
      Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar memang memberi kesan buruk kepada seluruh alam sekitar di bumi ini. Pelbagai langkah yang berkesan  haruslah di ambil untuk mengatasi masalah-masalah pencemaran daripada berleluasa. Saya berharap pihak berwajib dapat memantau supaya pencemaran ini dapat dikurangkan supaya kehidupan di bumi ini lebih selesa. Barulah generasi yang akan datang mempunyai persekitaran yang baik dan bebas daripada pelbagai pencemaran.
                                                                                                                                                    

Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar


            Antara  punca  yang  telah  dapat  dikenal  pasti  yang  membawa  kepada  masalah   pencemaran  alam  sekitar  ini  ialah  masalah  sikap  individu  dan  organisasi  yang  tidak bertanggungjawab.  Hal  ini  jelas  kerana  tiada  kesedaran  sivik  dalam  diri  mereka  untuk menjaga  alam  sekitar  kerana  bagi  sesetengah  individu,  mereka  akan  sewenang-wenangnya membuang  sampah  merata-rata  tanpa  menghiraukan  keadaan  persekitaran  dan  mungkin mereka  merasakan  itu  adalah  perkara  remeh  apabila  mencampakkan  secebis  tisu  atau  sisa makanan  di  tepi  jalan.  Walhal,  jika  direnungkan  andai  ada  seratus  orang  pengguna  yang bersikap  sedemikian  sudah  semestinya  jalan  raya  akan  menjadi  kotor  dan  dipenuhi  dengan sampah-sarap.  Manakala  untuk  organisasi  seperti  kilang  yang  menjalankan  operasi pengeluaran  yang  melibatkan  sisa  toksik  dalam  penghasilan  keluaran  mereka,  pada  kebiasaannya  kilang  itu  akan  mengambil  langkah  mudah  apabila  membuang  sisa  toksik tersebut  terus  ke  dalam  laut  dan  sungai  jika  kilang  itu  didirikan  berdekatan  dengan kawasan  tersebut.  Ini  akan  mengakibatkan  pencemaran  air  dan  kilang  yang  melepaskan asap  tanpa  pemasangan  alat  penapis  udara  akan  menyebabkan  terjadinya  pencemaran udara.  Hal  ini  berikutan  sikap  individu  dan  pemilik  kilang  yang  tidak  bertanggungjawab dan  peka  pada  persekitaran  sekeliling  hasil  dari  pencemaran  alam  sekitar  yang  mereka cipta  sendiri.

            Selain  itu,  antara  punca  lain  ialah  pembangunan  secara  tidak  sistematik.  Apabila pihak  kerajaan  atau  pihak  swasta  merancang  untuk  membangunkan  sesuatu  kawasan, mereka  seharusnya  memikirkan  secara  terperinci  kesan-kesan  negatif  yang  akan  timbul terutama  yang  melibatkan  alam  sekitar  dan  bukan  tertumpu  kepada  kebaikan  dan keuntungan  pembangunan  semata-mata  kerana  akibat  dari  pembangunan  yang  akan dijalankan  boleh  menyebabkan  berlakunya  pencemaran  air,  udara,  tanah  dan  bunyi  yang akan  dihasilkan.  Mungkin  disebabkan  penggunaan  jentera  yang  terlalu  banyak  akan menghasilkan  pencemaran  bunyi  dan  pencemaran  udara  jika  jentera-jentera  berteknologi tinggi  tersebut  mengeluarkan  asap  yang  berlebihan.  Akibat  daripada  projek-projek pembangunan  itu,  ia  juga  boleh  terjadinya  pencemaran  air  terutama  pada  waktu  hujan  jika tanah  lapang  yang  telah  dibersihkan  untuk  projek  pembangunan  itu  iaitu  tanah  merah mengalir  terus  ke  dalam  sungai  atau  laut  yang  berdekatan . Hal  ini  boleh  menjejaskan tahap  kebersihan  kualiti  air  dan  boleh  mengancam  kehidupan  ekosistem  dalam  air  yang seterusnya  membawa  kepada  pencemaran  alam  sekitar. 

Di  samping  itu,  penggunaan  kenderaan  bermotor  seperti  kereta,  motosikal,  lori  dan kapal  terbang  juga  merupakan  salah  satu  dari  penyumbang  kepada  berlakunya  pencemaran alam  sekitar  seperti  pencemaran  udara  dan  pencemaran  bunyi.  Hal  ini  kerana  setiap  kenderaan akan  melepaskan  asap  kenderaan  yang  mengandungi  gas  yang  berbahaya.  Hal  ini  jika peningkatan  taraf  hidup  masyarakat  terus  meningkat  pada  zaman  sekarang  maka  tahap pencemaran  juga  akan  turut  meningkat  berikutan  semakin  bertambah  jumlah  penggunaan bilangan  pengguna  jalan  raya  yang  selesa  menggunakan  kenderaan  mereka  sendiri  untuk bergerak  ke  destinasi  yang  ingin  dituju  berbanding  beramai-ramai  menggunakan  kenderaan  awam  yang  semestinya  dapat  mengurangkan  bilangan  kenderaan  di  jalan  raya. Hal  ini  akan  menyebabkan  pencemaran  udara  dan  seterusnya  menjejaskan  sistem  pernafasan  dan  daya  penglihatan  manusia  serta  pencemaran  bunyi  yang  terhasil  oleh  kapal  terbang  yang  berlepas  atau  mendarat  terutama  dikawasan  perumahan  yang berhampiran  dengan  lapangan  terbang   boleh  menjejaskan  daya pendengaran  manusia.  Hal  ini  jelas  menerangkan  bahawa  penggunaan  kenderaan  bermotor  juga  menjadi  salah  satu  punca  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar. 

            Antara  punca  lain  penyebab  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar  ialah  pembakaran  secara  terbuka.  Hal  ini  jelas  dapat  dilihat  berikutan  pembakaran  pokok-pokok  tua  di  kawasan  ladang  dan  hutan  untuk  tujuan  penanaman  semula.  Jika  dilihat  dari  satu  sudut,  penanaman semula  sememangnya  sangat  baik  tetapi  akibat  daripada  pembakaran  secara  terbuka  yang  dilakukan  oleh  sesetengah  pihak  sebenarnya  boleh  menyebabkan  berlakunya  pencemaran  udara.  Di  samping  turut  memusnahkan  kehidupan  flora  dan  fauna  disekitarnya.  Disebabkan  pembakaran  secara  terbuka  ini  jugalah  suhu  bumi  menjadi  semakin  meningkat  dan  keadaan  cuaca  di  bumi  semakin  panas.  Inilah  sebenarnya  akibat  daripada  pembakaran  secara  terbuka  yang  dijalankan  yang  akhirnya  membawa  kepada  pencemaran  alam  sekitar  serta  sekali  gus   turut  menjejaskan  kehidupan  dan  kesihatan  manusia.

            Tambahan  pula,  kurangnya  peranan  yang  dimainkan  oleh  pihak  kerajaan  juga  menjadi  salah  satu  punca  terus  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar  pada  masa  ini.  Pihak  kerajaan  seharusnya  membuka  mata  dan  lebih  peka  terhadap  pembangunan  yang  dijalankan  oleh  semua  pihak  dengan  mengambil  kira  masalah  pencemaran  yang  bakal  terjadi  dari  setiap  projek  pembangunan  tersebut  dan  bukan  hanya  melihat  kepada  peningkatan  taraf  hidup  masyarakat  sahaja.  Perkara  ini  sangat  penting  untuk  membantu  mengurangkan  pencemaran  udara,  air,  tanah  dan  bunyi,   hasil  daripada  pembangunan  pesat  yang  giat  dijalankan  dan  tingkah  laku  sesetengah  organisasi  dan  masyarakat  yang  kurang  kesedaran  sivik.  Oleh  disebabkan  kerajaan  kurang  memainkan  peranan  dalam  menilai  aspek-aspek  inilah  yang  menyebabkan  masalah  pencemaran  berada  ditahap  yang  semakin  membimbangkan  pada  masa  kini.

            Kesimpulannya,  punca-punca  pencemaran  yang  telah  dikenal  pasti  ini  harus  diambil langkah  serius  oleh  semua  pihak  dan  organisasi  untuk  mengurangkan  masalah  pencemaran alam  sekitar  baik  daripada  pencemaran  air,  udara,  tanah  dan  bunyi.  Ia  penting  demi  memastikan  kehidupan  dibumi  ini  terjamin  dan  terhindar  dari  masalah  pencemaran  yang  semestinya  membahayakan  dan  mengancam  kesihatan  serta  kehidupan  flora  dan  fauna  untuk  generasi  akan  datang  yang  lebih  baik  dan  sihat  serta  bebas  dari  pencemaran  alam  sekitar.

Jenis-Jenis Pencemaran

Pencemaran Bunyi
Pencemaran bunyi sering menjadi isu tetapi ia kurang diberi perhatian. Akhir-akhir ini, aspek ini dibincangkan secara bersungguh-sungguh apabila paras bunyi semakin meningkat dari hari ke hari. Pembangunan negara yang pesat menuju status negara industri yang menyebabkan bilangan kenderaan di jalan raya meningkat merupakan antara sumber bunyi utama di negara kita. Projek-projek pembinaan yang menggunakan banyak jentera dan pembinaan lebih banyak lapangan terbang juga merupakan antara penyumbang lain pencemaran bunyi. Dalam sektor pekerjaan, paras bunyi yang selamat harus dipastikan bagi mengelak pekerja mengalami masalah pendengaran. Buat masa ini, kebanyakan sektor industri di negara ini lebih berorientasikan buruh berbanding di negara-negara maju. Sehubungan ini pengoperasian jentera dalam bangunan mungkin mendedahkan pekerja kepada risiko kerosakan pendengaran. Pengukuran bunyi juga amat penting bagi menilai sumber, kesan dan teknologi kawalan yang sesuai.

Pencemaran bunyi didefiniskan sebagai  bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga.Pencemaran bunyi biasanya melebihi 80 dB(A)[desibel] dan pencemaran ini mengikut situasi dan keinginan masing-masing. Pencemaran ini boleh dibahagikan kepada empat bahagian,iaitu kebisingan selenjar,kebisingan fluktuasi dan hentakan impuls, dan kebisingan selang-seli.

Kebisingan selenjar adalah kebisingan yang selar dan kurang daripada 3 desibel (dB). Ini berlaku apabila seseorang sedang berbisik kerana gelombang bunyi bergetar dengan lebih perlahan..

Kebisingan fluktasi pula merupakan kebisingan yang terlatak antara puncak gelombang yang tinggi dan rendah. Pada tahap ini getaran gelombang bunyi akan bergetar dengan lebih cepat daripada kebisingan selenjar. Getaran gelombang adalah sekitar 3 dB sahaja. Contohnya kebisingan fluktasi berlaku apabila seseorang sedang berbual-bual , dan bunyi enjin yang tidak dimatikan.

Hentakan impuls merupakan bunyi yang lebih intensiti dalam tempoh yang lebih singkat. Contohnya tembakan, ketukan atau lagaan daripada benda yang keras. Pada kebiasaannya, tahap ini getaran gelombang akan memuncak dan menurun dengan cepat. Pada tahap ini intensiti bunyi adalah melebihi 80 dB kemudian gelombang bunyi  akan menurun dengan cepat. Akan tetapi intensiti masih menunjukkan  tahap yang tinggi kerana bunyi yang kuat akan memberi kesan yang lama terhadap getaran. Kebisingan selang seli  berlaku secara berselang-seli. Ianya dihasilkan apabila bunyi bising  menjadi perlahan dan kuat dalam jangka masa yang pendek. Contoh : Ketika seseorang sedang menggergaji kayu, getaran akan berlaku ketika gergaji itu bergerak dan getaran tidak akan berlaku apabila gergaji kayu dihentikan. Semasa gergaji sedang ditarik intensitinya akan meninggi pada kadar tertentu dan menurun apabila gergaji tidak disorongkan.
                                                                                                                          
Pencemaran Udara
Pencemaran udara boleh dikatakan antara pencemaran yang memberi impak yang paling besar kepada alam sekitar. Disebabkan oleh pencemaran udara terjadinya fenomena pemanasan global yang mengakibatkan berlakunya bencana alam yang mengancam bumi kita. Pencemaran udara ini menjadi tumpuan sedunia bagi menangani dan mengambil langkah pengawalan supaya tahap pencemaran dapat dikawal. Negara maju seperti negara China yang bertumpukan industri perkilangan secara langsung menjejaskan kualiti udara di negara tersebut. Isu pencemaran udara ini dititikberatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah ini.
Pencemaran udara boleh diklasifikasi kepada dua bahagian iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder. Pencemaran primer merujuk kepada pencemaran yang dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida hasil dari pembakaran tidak lengkap yang menyebabkan zarah-zarah halus terampai di udara. Kebanyakan pencemaran ini dilepaskan melalui eksos kenderaan, industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar dan pembakaran arang batu yang tidak terkawal, manakala pencemaran sekunder pula adalah tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk dengan gas–gas yang tidak di perlukan oleh benda hidup seperti gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid sulfurik.
                                                                                                                         

Pencemaran Air                                                                  
Air merupakan salah satu keperluan asas manusia. Namun begitu,pada masa ini,di negara-negara membangun atau negara sedang membangun , masalah pencemaran air masih berlaku. Masalah ini amat membimbangkan. Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan,keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberi kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik. Bahan pencemaran boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas, cecair dan pepejal. Pencemaran air bukan sahaja berlaku di sungai sahaja tetapi juga di laut , pantai dan lain-lain tempat berair.
                                                                                                                         

Pencemaran Tanah
          Pencemaran tanah adalah bahagian permukaan bumi yang dihuni oleh banyak makhluk hidup terutama manusia, tumbuh-tumbuhan,  haiwan dan mikroorganisme Tanah dan makhluk hidup yang hidup di atasnya mempunyai hubungan yang sangat erat. Tanah memberikan sumber daya yang berguna bagi kelangsungan makhluk hidup di atasnya. Tanah memiliki fungsi produksi, iaitu antara lain sebagai penghasil biomassa, seperti bahan makanan, serat, kayu dan bahan ubat-ubatan. Selain itu, tanah juga berperan dalam menjaga kelestarian sumber daya air dan kelestarian lingkungan hidup secara umum. Tanah juga merupakan habitat alamiah bagi manusia dan makhluk hidup yang lain.Dapat dikatakan bahawa hidup manusia tergantung kepada tanah.         
Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Pencemaran ini disebabkan oleh bahan buangan sama ada berbentuk air atau pepejal.Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik,kimia atau fizik.Kegiatan manusia seperti perusakan hutan dan pertanian ladang berpindah mempengaruhi kualiti tanah. Terkontaminasinya tanah oleh zat kimia dapat mengakibatkan terjadinya pencemaran air dan tanah. Jika tidak segera dihentikan, hal ini akan menimbulkan kerosakan tanah, bahkan dapat menimbulkan bencana bagi kehidupan manusia.

Friday, 6 September 2013

Keindahan Alam Ciptaan Tuhan


In all things of nature there is something of the marvelous. 

Untuk sesiapa yang tidak tahu alam sekitar itu apa, sila klik di sini http://ms.wikipedia.org/wiki/Alam_sekitar