Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar. Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.
Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.
Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar .
Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.
Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat mengikut pertambahan bilangan pengguna. Saya berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.
No comments:
Post a Comment